Wednesday, October 27, 2010

TUGASAN INDIVIDU- APLIKASI SENI DALAM PENGAJARAN

Aplikasi seni dalam pengajaran
i)                    Definisi Seni
Pendidikan Seni merupakan salah satu subjek yang diajar di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Sejak Malaysia merdeka sehingga sekarang banyak perubahan yang telah berlaku pada Kurikulum Pendidikan Seni. Perubahan-perubahan ini adalah perlu bagi meningkatkan lagi mutu subjek seni ini bagi memartabatkan seni sebagai satu subjek yang penting di ajar di sekolah. Pendidikan ditakrifkan sebagai proses pemasyarakatan, aktiviti dan proses yang bertujuan untuk menghasilkan perubahan yang dikehendaki di dalam diri seseorang. Dalam masyarakat primitif, proses pendidikan adalah penyampaian pengetahuan tradisi dengan cara hidup yang diperolehi daripada generasi terdahulu. (Atan Long: Psokologi Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka 1978).
Edlar (1970) pula berpendapat: Pendidikan pada sebarang tempat adalah khusus serta boleh dalam apa juga keadaan yang mewujudkan gabungan alam dan manusia. Oleh itu dalam pendidikan, penyampaian dan pemerolehan ilmu itu bertujuan untuk membawa perubahan ke dalam diri manusia agar terbentuk peribadi mulia. Menurut Kamus Oxford, seni adalah, ’........... the production of something beautiful, skill or ability in such work...’..Victor Lowenfeld pula menyatakan, ’ Art is a fundamental human process’......Syed Naquib Al-Attas menyatakan, ’ pendidikan ialah suatu proses menerapkan sesuatu kepada manusia. Kandungan pendidikan adalah ilmu proses pendidikan iaitu perintisan ilmu ke dalam diri manusia..’
Teknologi elektrik iaitu tempias teknologi maklumat dan agen transportasinya telah mula menular di dalam perkembangan seni tampak. Ia akan menjadi aliran baru yang mampu memberi perubahan dan transformasi kepada pengucapan berkarya. Jika dilihat pengamal seni di Malaysia masih lagi bimbang untuk melakukan sedikit anjakan evolusi minda. Hakikat terhadap berus, cat, dan kanvas sebagai alatan dan media unggul tidak seharusnya diketepikan tetapi sebaliknya perlu dikembangkan. Komputer, perisian dan skrin elektronik mampu memperkayakan gaya pengucapan berkarya. Melalui kesepaduan seni dan teknologi terkini boleh boleh mengujudkan kepelbagaian disiplin seni yang mampu memberi pilihan kepada generasi masa akan datang. Sekaligus transformasi seni ini boleh dijadikan pemangkin kepada pendidikan dan pengajaran. Tidak dinafikan generasi sekarang dan akan datang telah dan terus terdedah kepada perkembangan teknologi dunia.

ii)                  Aplikasi seni dalam pengajaran
Manusia dijangka akan lebih menerima dan mula berminat terhadap seni untuk membolehkan mereka faham tentang sesuatu budaya. Seni menjadi asas kepada segala jenis pembelajaran (centre of learning). Melalui seni kita boleh mengetahui tentang cara pemikiran, emosi, adat istiadat masyarakat dan pemahaman ini berkembang berterusan di masa hadapan. Melalui kemudahan teknologi, masa hadapan seni juga akan berubah. Sebagai contoh, lebih banyak penggunaan seni visual seperti muzium yang berdinding pameran video secara virtual (maya) tentang barang-barang antik. Sistem komunikasi yang melibatkan pembelajaran secara interaktif menggunakan alat-alat elektronik juga turut akan berkembang. Melukis menggunakan program komputer juga akan membawa perubahan pembelajaran di mana ia akan lebih melibatkan deria penglihatan dan bunyi yang boleh dikombinasikan dengan menggunakan teknologi.
Masyarakat dunia akan lebih mahir menggunakan komputer di masa hadapan. Sebagai contoh ikon dalam komputer juga merupakan sebahagian seni yang memerlukan kemahiran menginterpretasikan ikon tersebut. Oleh itu seni secara tidak langsung akan dipelajari oleh semua pihak kerana untuk menjalani kehidupan seharian mereka memerlukan seni juga.
Selari dengan perkembangan teknologi dunia, seni dan teknologi tidak boleh dipisahkan. Interactive networking atau internet telah membolehkan pelajar dan guru memperolehi lebih banyak peluang untuk mengetahui tentang imej visual, bunyi, seni dari pelbagai dimensi dan budaya penggabungan seni dan teknologi tidak dapat dinafikan akan membentuk satu satu generasi yang baru belajar asas seni dengan menggunakan teknologi.Bukan sahaja perubahan dan revolusi maklumat yang berlaku dekad ini memaksa kita menggunakan teknologi tetapi juga penting bagi guru dan pelajar kerana mereka mempunyai banyak sumber bahan dan maklumat. Cara-cara penghasilan seni untuk masa hadapan juga akan berubah di mana penggunaan software seperti VU-See Me membolehkan pelajar berkomunikasi dengan kawan-kawan dari benua lain dalam menghasilkan folio atau kerja kursus mereka.
Penggunaan teknologi ini akan membantu membentuk satu komuniti yang baru, yang boleh berada di mana-mana dunia dan mampu berkomunikasi dan bertukar-tukar pendapat tentang seni dan lain-lain . Ini dianggap sebagai pembangunan komuniti (community building). Guru dan pelajar boleh berbincang tentang isu seni seterusnya bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan. Sebagai contoh yang terdapat di Institute John F.Kennedy yang telah mewujudkan suatu net forum secara online di mana ramai guru telah meminta bantuan dan seterunya bertukar-tukar idea berkaitan dengan seni dan masalah yang mereka hadapi. Ini merupakan satu komuniti secara virtual. Antara perkara yang dibincangkan termasuklah isu-isu pedagogi , kontroversi pelbagai perkara dalam disiplin seni, dan bertukar-tukar pengalaman. Di samping itu, videoconference juga boleh diadakan kerana cara begini sebenarnya adalah sebahagaian dari apa yang dikatakan reformasi dalam bidang pendidikan yang sedang berlaku sekarang.
Kombinasi pendidikan jarak jauh dan kemudahan networking, guru dan pelajar boleh bekerjasama dalam merancang, mengimplementari dan membuat penilaian sesuatu kurikulum atau aktiviti. Sebagai contoh guru-guru boleh bekerjasama membentuk suatu sistem penilaian interaktif dan menentukan unsur yang hendak dinilai bagi sesuatu aktiviti.Pelajar juga mudah mendapatkan maklumat yang melibatkan audio, grafik dan imej yang bergerak. Misalnya jika ingin mempelajari sesuatu tajuk seni dan langkah-langkah proses penghasilan, pelajar boleh melihat beberapa audio visual serta penerangan yang boleh difahami oleh pelajar dan guru. Ini membolehkan pelajar lebih menghargai proses pembelajaran itu sendiri.
Proses pembelajaran juga akan menjadi lebih menarik kerana guru dan pelajar akan melibatkan diri bersama-sama dalam menghasilkan suatu pembelajaran, misalnya bekerjasama untuk membentuk suatu laman web yang berkaitan dengan sesuatu tajuk. Ini menyebabkan pelajar melibat diri secara langsung dalam proses pembelajaran bukan lagi bergantung kepada guru semata-mata. Penggunaan teknologi dalam pendidikan menjadi pelajar lebih aktif dalam proses pembelajaran.Pelajar juga boleh mengakses kepada sumber maklumat dan guru-guru boleh mendapatkan ABM secara langsung yang boleh dijadikan sebagai petunjuk kepada guru dan pelajar. Teknologi lebih menyumbang kepada pembangunan Pendidikan Seni. Penggunaan teknologi lebih bermanfaat di masa hadapan kerana melaluinya, penghasilan seni, pameran seni serta mengkritik akan menjadi lebih meluas kerana ia menjadi lebih cepat dan mudah dengan bantuan software dan program yang semakin banyak di pasaran dan internet. Paling penting ialah komunikasi masyarakat menjadi lebih mudah dan penglibatan pelajar menjadi lebih penting dalam pendidikan yang berteraskan teknologi dan media.
Penglibatan elektronik dan komputer ini bukanlah terus menerus menolak atau mencabar hakikat terhadap berus, cat dan kanvas sebagai alatan dan media unggul sejak dari zaman Renaisance, tetapi melihat keupayaan teknologi komputer, aplikasi perisian, skrin elektronik, gelombang atau pancaran cahaya elektronik bahkan terkini internet mampu memperkayakan gaya pengucapan berkarya dalam berbagai katogari pelantar seni.Kepesatan teknologi komputer ini juga turut menghasilkan aplikasi perisian yang menyumbang kepada seni dan kreativiti. Dengan aplikasi perisian ini memungkinkan kemajuan kreativiti di mana mampu memperbaiki dan memantapkan nilai-nilai artistik manusia. Aplikasi perisian lebih bersifat sebagai metafora peralatan. Justeru teknologi tinggi dan komputer tidak sewajarnya dianggap sebagai peralatan semata-mata kerana ia juga boleh bertindak sebagai penyataan maklumat yang abstrak. Perlaksanaan seni juga dapat dilakukan oleh komputer dengan cara memudah, meringkas dan mempercepatkan proses pekerjaan seni dan penampilan proses seni itu sendiri. Kebanyakan hanya pengamal seni generasi baru atau mereka yang inginkan perubahan sahaja yang berani untuk melibatkan penggunaan teknologi komputer di dalam penghasilan karya seni. Justeru kita lihat generasi baru sebagai generasi yang mudah menelan dan mencerna teknologi elektronik walau dalam apa juga bentuk sekalipun.
Mengikut Dr.Sharifah Norul Akmar Syed Zamri (2006), asas pendidikan di rujuk sebagai “3R” iaitu membaca, menulis dan mengira. Penggunaan huruf “R” adalah satu perkataan yang sesuai digunakan dalam Bahasa Inggeris tetapi mungkin tidak dalam Bahasa Melayu. Seni perlu dijadikan “R” keempat atau literasi asas kerana Seni dalam Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Terdapat 3 bidang dalam mata pelajaran ini iaitu seni visual, seni muzik dan seni pergerakan. Antara peranan seni dalam pendidikan ialah:
a.       Proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih seronok
Pengajaran yang dilaksanakan dengan menggabungjalin pelbagai unsur seni dan berbeza dari kaedah pengajaran tradisional yang hanya menggunakan kapur dan papan tulis sebagai media dalam penyampaian maklumat dapat menjadikan murid berasa lebih seronok. Selain itu, murid akan berasa lebih selesa dan lebih mudah untuk memahami sesuatu tajuk yang diajar.
b.      Memupuk nilai kerjasama
Secara semula jadi, kebanyakan aktiviti seni dalam pendidikan tidak dapat mengelakkan murid-murid daripada terlibat dalam kegiatan yang berunsur kerjasama. Aktiviti berkelompok menuntut setiap individu bergerak dan berinteraksi secara bekerjasama untuk mencapai kejayaan bersama. Aksi-aksi yang terdapat dalam Seni Dalam Pendidikan merangkumi aktiviti seni visual, muzik dan pergerakan mempunyai titik tolak interaksi sosial yang terjalin melalui deria sentuh.
c.       Memenuhi keperluan sosial yang asas
Apabila semua murid berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan minat dan kebolehan mereka, maka akan terbentuk satu situasi idea yang dapat memenuhi kedua-dua matlamat sosial iaitu kemilikan dan keinginan diterima sebagai anggota kelompok.
Murid-murid mahukan dirinya diterima sebagai anggota sebuah kelompok dan pada masa yang sama memerlukan kasih sayang. Dalam kegiatan seni dalam pendidikan, keperluan untuk belaian sekurang-kurangnya dipenuhi melalui pujian dan galakan yang diberi sebaik sahaja mereka mempersembahkan aktiviti yang menarik. Perhubungan mesra antara murid dengan murid dapat mewujudkan suasana yang harmoni dan menyebabkan murid merasakan bahawa guru dan rakan-rakan prihatin terhadap dirinya dan menghargai bakat yang dimiliki.
d.      Murid berpeluang untuk menjalani proses penerokaan semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996), penerokaan dapat ditakrifkan sebagai penyelidikan yang bertujuan untuk mengetahui sesuatu yang belum diketahui. Penerokaan dapat dilaksanakan dengan cara menjelajah. Namun begitu, proses ini memerlukan pelbagai bahan dan kaedah. Pengalaman meneroka juga merupakan sesuatu situasi pembelajaran. Meneroka dijalankan dengan membuat eksperimen, menyelidik dan mencipta menggunakan pelbagai idea dan bahan. Penerokaan terbahagi kepada tiga kategori iaitu alat dan bahan, cara pengelohan dan manipulasi serta idea dan isi kandungan.
e.      Luahan perasaan dan aras keyakinan yang tinggi
Perasaan merupakan reaksi badan terhadap rangsangan yang diterima samada ia bersedia atau tidak. Di samping itu, perasaan juga mungkin dapat memberikan sumber manfaat dan kerugian kepada seseorang. Guru boleh mendapat tahu perasaan sebenar murid melalui tingkah laku yang dipamerkan. Murid yang menyertai aktiviti-aktiviti seperti permainan boleh mewujudkan suasana keriangan, bebas daripada tekanan emosi dan membina kecekalan dalam menghadapi persaingan dan cabaran. Individu yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dapat melakukan aktiviti tanpa rasa segan atau bimbang mengenai pandangan orang lain terhadap dirinya. Oleh itu, setiap aktiviti yang dilakukan perlulah ada keyakinan supaya dapat menjamin keberkesanannya.
Kesimpulan
Aplikasi seni dalam pengajaran sememangnya memberi banyak manfaat dan faedah kepada guru dan juga pelajar. Hal ini demikian kerana dengan penggunaan seni dalam pengajaran, sesuatu pengajaran dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan menyeronokkan. Dengan ini, hasrat kerajaan untuk mewujudkan para pelajar minda kelas pertama dapat direalisasikan dan tercapai pada masa akan datang.
Bibliografi
1.       Peranan seni dalam pendidkan (2008). Diperoleh pada Oktober 1, 2010 daripada
http: //www.slideshare.net/.../peranan-seni-dalam-pendidikan - United States

2.       Definisi seni (2000). Diperoleh pada Oktober 2, 2010 daripada

3.       Menilai seni: subjek seni di masa hadapan(2009). Diperoleh pada Oktober 1, 2010  
daripada http://www. sitihayatimohdyusoff.blogspot.com



No comments:

Post a Comment